Wednesday, March 5, 2008

Rujuk

RUJUK DALAM ISLAM

Dari segi bahasa rujuk bermaksud kembali, manakala dari segi syarak pula rujuk bermaksud mengembalikan isteri kepada nikah balam waktu iddah bagi yang bukan talak ba’in. Rujuk adalah suami untuk melanjutkan ikatan perkahwinan dengan bekas isteri yang baru diceraikannya sebelum habis waktu iddah isteri

DALIL HARUS RUJU‘
Firman Allah subhanahu wata‘ala:
Maksudnya:“Dan suami-suami, mereka lebih berhak untuk mengambil kembali (ruju‘) akan isteri-isteri di dalam masa ‘iddah itu jika mereka bertujuan mahu membuat perdamaian.”(Surah Al-Baqarah, 2:228)

·Allah subhanahu wata‘ala juga berfirman:
Maksudnya:“Maka apabila mereka telah mendekati akhir ‘iddah, ruju‘lah mereka dengan cara yang ma‘ruf (baik) atau ceraikan mereka dengan cara yang ma‘ruf (baik).”(Surah At-Talaq, 65:2)

Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah bersabda kepada ‘Umar ketika dikhabarkan bahawa anaknya (‘Abdullah) telah menceraikan isterinya ketika haidh maka Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang bermaksud:
“Suruh anakmu supaya dia rujuk kepada isterinya.”(Maksud Al-Hadith)

RUKUN RUJU‘

1. Sighah iaitu lafaz yang menunjukkan kembali kepada isteri sama ada secara sarih (terang) mahupun kinayah (kiasan).
2. Murtaji‘ iaitu suami yang mempunyai syarat-syarat tertentu.
3. Isteri iaitu perempuan yang telah dinikahi dengan nikah yang sah.

SYARAT-SYARAT RUJU‘

1. Suami:
a) Hendaklah seorang yang berakal.
b) Baligh.
c) Dengan kehendak dan kerelaan sendiri bukan paksaan daripada sesiapa.
d) Tidak murtad.
2. Isteri:
a) Hendaklah yang sudah dicampuri.
b) Mestilah yang diceraikan dengan talaq raj‘iyy. Bukan dengan perceraian secara fasakh, khul‘ dan juga talaq tiga.
c) Hendaklah ditentukan orangnya jika suami berkahwin lebih daripada satu dan telah menceraikan beberapa orang isterinya.
3. Hendaklah tidak dihadkan kepada sesuatu masa dan waktu. Tidak sah ruju‘ dalam masa yang tertentu sahaja.
4. Tidak bergantung kepada sesuatu syarat. Ruju‘ disyari‘atkan adalah bertujuan untuk membolehkan suami isteri yang telah bercerai dengan talaq raj‘iyy meneruskan kembali ikatan perkahwinan mereka yang telah terputus dengan syarat isteri masih lagi dalam ‘iddah. Tetapi perlu diingat bahawa ruju‘ hendaklah dengan tujuan untuk berdamai bukan kerana ingin menyakiti, menganiaya isteri dan sebagainya.

PROSEDUR RUJU‘

1. Jika selepas perceraian yang boleh diruju‘kan (dalam ‘iddah raj‘iyy) dan ruju‘ telah berlaku dengan persetujuan bersama, pihak-pihak itu hendaklah melaporkan hal peruju‘kan tersebut kepada Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah berkenaan dalam tempoh tujuh (7) hari daripada tarikh peruju‘kan berlaku serta menerangkan butir-butir yang berkaitan dengannya dalam borang yang ditetapkan.
2. Bagi pihak-pihak yang ingin memohon ruju‘ atas persetujuan bersama semasa di dalam ‘iddah raj‘iyy, pemohon hendaklah hadir di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah bersama isteri dan dua orang saksi lelaki.
3. Setiap ruju‘ yang hendak dibuat di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah hendaklah memastikan pemohon mengemukakan sijil cerai asal atau keputusan bercerai daripada Mahkamah Syari‘ah berkaitan sebelum ruju‘ dijalankan.
4. Apabila Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah berpuashati bahawa ruju‘ tersebut berlaku secara sah dari segi hukum syara‘, baharulah pendaftaran atau permohonan ruju‘ diterima setelah pemohon menyertakan bersama-sama borang permohonan, salinan resit pendaftaran kes perceraiannya di Mahkamah atau Sijil Cerai yang asal.
5. Pendaftaran atau permohonan ruju‘ hendaklah dilakukan di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah.
6. Setiap ruju‘ yang telah didaftarkan, Sijil Cerai asal tersebut akan diambil oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah berkaitan dan dihantar kepada Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah yang mengeluarkan untuk dibatalkan dan direkodkan di dalam Buku Daftar Cerai Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah berkaitan.
7. Pemohon yang telah didaftarkan ruju‘ mereka akan diserahkan kepada mereka Surat Keterangan Ruju‘ (Borang 2D) dan direkodkan di dalam Buku Daftar Serahan Keterangan Ruju‘.
8. Butir-butir peruju‘kan tersebut hendaklah dicatitkan dan disimpan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah dalam Buku Daftar Ruju‘ (Borang 2E).

Nabila

1 Comments:

At February 27, 2021 at 2:48 PM , Blogger Unknown said...

Assalammualaikum nak tanya... Kalau suami dh lafazkan rujuk sebelum ke mahkamah, suami isteri dh boleh duduk sebilik ka... Terima kasih.

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home