Wednesday, March 5, 2008

Poligami

Poligami

Pendahuluan

Fitrah untuk hidup secara berpasangan merupakan satu lumrah kehidupan
manusia. Bagi memenuhi dorongan biologi ini umat Islam terikat dengan
peraturan perkahwinan yang berteraskan syariat. Perkahwinan bahagia
berteraskan kasih sayang dan kemesraan menjadi motivasi dan penggerak ke
arah kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat. Sebaliknya perkahwinan yang
retak akan menghasilkan simpton-simpton ketidakteguhan peribadi yang
membawa kesan negatif bukan sahaja kepada diri bahkan juga masyarakat.
Perkahwinan secara mudahnya boleh diklafikasikan kepada dua bentuk yang
utama iaitu monogami dan poligami. Monogami ialah perkahwinan di antara
seorang lelaki dan seorang perempuan, manakala poligami merupakan
perkahwinan seorang lelaki dengan beberapa orang wanita pada satu-satu
masa.
Artikel ini akan memfokuskan kepada isu poligami kerana ia sering menimbulkan
pro dan kontra di dalam masyarakat termasuk di kalangan umat Islam. Kaum
lelaki mendabik dada mendakwa poligami sebagai hak mereka, manakala kaum
wanita pula berkeras enggan dimadu dengan berbagai-bagai alasan. Lantaran
itu topik ini cuba digarap dengan melihat konsep poligami mengikut hukum
syarak dan perlaksanaannya mengikut undang-undang syariah di Malaysia.


Poligami Menurut Islam

Islam adalah agama fitrah yang mengiktiraf kepelbagaian keperluan dan
kehendak manusia dalam hidup berpasangan. Berasaskan kepada keadaan
inilah Islam membenarkan poligami yang merupakan amalan masyarakat turun
temurun sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Bagi memastikan amalan
poligami secara yang lebih adil dan dapat menjamin kesejahteraan hidup ummah
seluruhnya, Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu yang menghadkan
amalan yang bebas sebelum ini dan mengambil jalan pertengahan yang lebih
wajar. Syariat Islam menetapkan bahawa seorang lelaki boleh berkahwin dengan
lebih dari seorang perempuan tetapi tidak melebihi empat orang.
Asas pensyariatan yang menjadi dalil utama di dalam keharusan berpoligami
Ialah:-
firman Allah SWT dalam surah an-Nisa', ayat 3, yang bermaksud:

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim
(apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah (dengan)
perempuan-perempuan lain yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat.
Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu)
maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau memadailah dengan hambahamba
perempuan yang kamu miliki. Itu adalah lebih dekat (untuk mencegah)
supaya kamu tidak melakukan kezaliman ”.


Menurut Dr. Muhammad al-Bahi dalam bukunya yang diterjemahkan ke bahasa
Melayu oleh Fathurrahman (1988), poligami bukanlah suatu prinsip yang wajib
dilaksanakan di dalam syariah Islam sehingga boleh menyebabkan berdosa jika
tidak mengamalkannya. Poligami hanya merupakan perkara harus dan satu
rukhsah (keringanan) dalam keadaan darurat. Jelasnya di sini walaupun bahasa
yang digunakan di dalam ayat di atas berunsur perintah, ia bukanlah membawa
kepada makna wajib dilaksanakan. Bahkan jika diamati ia boleh membawa
kepada suatu tegahan dan haram hukumnya jika suami yang berpoligami tidak
berupaya berlaku adil dan mengakibatkan penganiayaan terhadap isteri yang
dikahwini.


Syarat Poligami

1. Berkemampuan Untuk Menanggung Nafkah Isteri-isteri
Suami berkewajipan menanggung nafkah isteri zahir dan batin tidak kira sama
ada dia mempunyai seorang isteri atau lebih. Nafkah zahir yang dimaksudkan di
sini ialah dari aspek makan-minum, pakaian, kediaman dan perubatan. Nafkah
batin pula ialah suami berkeupayaan dalam memberi layanan seks kepada isteri.
Di dalam Mazhab Syafi’e, terdapat dua pendapat mengenai kadar pemberian
nafkah kepada isteri iaitu :
i. Melihat keadaan suami sahaja tanpa mengambil kira keadaan isteri,
ii. Melihat keadaan kedua-dua suami dan isteri iaitu dinilai menurut
kesanggupan suami dan perlu diberi menurut keadaan isteri.
Dalam hal ini pendapat kedua adalah lebih sesuai dan menepati konsep keadilan
memandangkan dalam banyak keadaan seseorang suami itu mempunyai isteri
yang datang dari berbagai-bagai status kedudukan yang berbeza. Abu al-
‘Aynayn dalam buku al-Ziwaj wa al-Talaq fi al-Islam berpandangan bahawa
sebarang penambahan boleh diberikan kepada salah satu isteri dalam soal
pemberian nafkah. Walaupun begitu ia tidak boleh diamalkan jika boleh
membawa kepada perselisihan dan tidak puas hati di antara isteri.

2.Berlaku Adil Kepada Isteri-isteri

Menurut Abu al-‘Aynayn, keadilan bermaksud penyamarataan terhadap semua
isteri tanpa wujud pilih kasih di antara mereka. Ia termasuk interaksi yang baik di
antara suami isteri yang meliputi perbuatan, tutur kata dan akhlak. Keadilan ini
wajib dijelmakan di dalam perkara-perkara ikhtiari dan lahiriah yang melibatkan
beberapa aspek iaitu nafkah, pakaian, penempatan, giliran bermalam dan
musafir. Perasaan dan kasih sayang pula tidak termasuk di dalam tuntutan
keadilan kerana ianya di luar kawalan manusia dan bersifat relatif. Walaupun
begitu suami tetap dilarang daripada menzahirkan secara jelas tentang
perbezaan ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’, ayat
129 :

وَلَن تَسْتَطِيعُواْ أَن تَعْدِلُواْ بَيْنَ النِّسَاء وَلَوْ حَرَصْتُمْ فَلاَ تَمِيلُواْ آُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَ ا
آَالْمُعَلَّقَةِ وَإِن تُصْلِحُواْ وَتَتَّقُواْ فَإِنَّ اللّهَ آَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Mafhumnya :
“ Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun
kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya). Oleh itu janganlah kamu
cenderung (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu
biarkan isteri yang lain seperti tergantung (di awang-awangan). Jika kamu
memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada
perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha
Mengasihani.

2.1. Adil Dalam Menyediakan Kediaman
Sebagaimana pemberian nafkah, suami juga perlu menyediakan tempat tinggal
isteri baik dalam keadaan monogami atau poligami. Apabila berpoligami,
kediaman isteri seboleh-bolehnya hendaklah diasingkan sebagai suatu inisiatif
untuk mengelakkan perselisihan keluarga dan perasaan cemburu menular di
kalangan isteri. Menurut ‘Abd al-Nasir Tawfiq al-‘Attar dalam bukunya Ta’addud
al-Zawjat min al-Nawahi al-Diniyyah wa al-Ijtima’iyyah wa al-Qanuniyyah,
pengasingan ini bergantung kepada kemampuan seseorang suami yang mana
tidak semestinya disediakan sebuah rumah untuk setiap isteri bahkan dibolehkan
juga disediakan bilik-bilik berasingan dalam satu rumah yang sama.
Walaubagaimanapun dari segi psikologi, menempatkan ister-isteri dalam rumah
yang sama akan memudahkan mereka berselisih faham yang boleh melukakan
perasaan.

2.2. Adil Dalam Giliran Bermalam
Suami wajib menentukan kadar giliran bermalam yang adil di antara isteri-isterinya
tanpa mengira sama ada isterinya itu isteri muda, isteri tua dan
sebagainya. Suami berdosa jika memberikan giliran lebih banyak kepada salah
seorang isteri berbanding dengan isterinya yang lain. Walaubagaimanapun ‘Abd
al-Nasir Tawfiq al-‘Attar berpandangan kelonggaran boleh diberikan pada
malam-malam awal perkahwinan dengan isteri baru tanpa perlu diqadha balik
kepada isteri tua. Ini berdasarkan kepada:-
hadis Rasulullah SAW yangdiriwayatkan dari Anas r.a. dengan katanya :

حدثنا يحيى بن يحيى أخبرنا هشيم عن خالد عن أبي قلابة عن أنس بن مالك قال :
إذا تزوج البكر على الثيب أقام عندها سبعا وإذا تزوج الثيب
على البكر أقام عندها ثلاثا

Mafhumnya :
“ Di antara sunnah ialah apabila seorang lelaki berkahwin dengan anak dara lalu
dia bermalam dengannya selama tujuh malam. Sekiranya janda, selama tiga
malam ”.
(Riwayat Muslim)

Di samping itu keadilan dalam giliran malam ini masih juga relatif sifatnya dan
perlu dinilai mengikut situasi seseorang isteri. Ia boleh dilonggarkan apabila ada
kerelaan daripada mana-mana isteri tersebut. Ini berdasarkan kepada:-
hadis Nabi SAW yang diriwayatkan dari al-Bukhari :

أن سودة بنت زمعة وهبت يومها لعائشة ، وآان النبي صلى الله عليه
وسلم يقسم لعائشة بيومها ويوم سودة

Mafhumnya :
“ Sawdah telah memberikan giliran beliau kepada Aisyah dan Rasulullah telah
bermalam bersama Aisyah dengan giliran beliau dan Sawdah ”.

2.3. Adil Dalam Musafir
Munurut pendapat Imam Syafie, suami wajib membuat undian di antara isteri-isteri sekiranya beliau menginginkan salah seorang dari mereka menemaninya
bermusafir. Dengan itu suami tidak wajib menggantikan giliran bermalam kepada
isteri yang sepatutnya mendapat hak pada masa musafirnya. Berbeza
keadaannya jika undian tidak dibuat dan tiada kerelaan mana-mana isteri, suami
wajib mengqadha giliran bermalam kepada isteri yang tidak memperolehi haknya
pada masa musafir tersebut. Perkara berkenaan undian ini disebut oleh Aishah
r.a. menerusi hadis riwayat al-Bukhari :

آان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا أراد سفرا أقرع بين أزواجه

Mafhumnya :
“ Nabi SAW apabila keluar bermusafir, baginda akan menjalankan undian di
antara isteri-isterinya ”.

Bagaimanapun mazhab Hanafi berbeza pandangan dalam hal ini dengan
mengatakan suami tidak wajib membuat undian untuk memilih isteri yang
menemaninya ketika musafir.

Nazirul

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home