Tanggungjawab Suami Isteri
TANGGUNGJAWAB SUAMI
Rumahtangga yang aman damai itu terbina di antara gabungan kegagahan seorang lelaki dan kelembutan seorang wanita. Lelaki berusaha mencari nafkah sementara wanita menguruskan rumahtangga. Tentu tidak akan wujud sebuah rumahtangga yang bahagia jika suami sahaja yang gagah atau kelumbutan isteri semata-mata.
Syariat Islam telah memuliakan wanita dengan memberi satu jaminan bagi kehidupan mereka. Disebabkan fitrah dan peraturan hidup itulah maka suami berperanan memimpin isteri ke arah mencari keredhaan Allah swt.pada keseluruhannya, suamilah yang bertanggungjawab di atas segala masalah anak isterinya tetapi tidaklah sampai membiarkan mereka lalai daripada tanggungjawab dalam ibadah yang khusus (fardhu ain). Firman Allah swt bermaksud:
“Peliharalah dirimu dan keluargamu dari seksa neraka.”
Setelah kita mengetahui sifat-sifat seorang suami,perlu juga diketahui tugas dan tanggungjawabnya iaitu:
1. Menjadi pemimpin keluarga
2. Mengajarkan ahli keluarga ilmu-ilmu fardhu ain(wajib) iaitu tauhid, feqah dan tasauf.
Ilmu tauhid: Diajarkan supaya beriktiqad ahli Sunnah Wal Jamaah. Mengajar sifat-sifat yang wajib, mustahil,harus bagi Allah dan Rasulullah saw. Rukun Iman, Islam dan lain-lainnya.
Ilmu feqah: Mengajarkan mereka supaya ibadah yang tunaikan itu menepati syariat Islam, seperti soal-soal kerukunan dalam sembahyang dan puasa. Mengenai perkara yang halal, haram, harus, makruh dan sunat.
Menerangkan kepada isteri mengenai haid, nifas dan wiladah malah perkara-perkara yang berkaitan dengannya serta hukum hakam menyucikan najis (mughallazah,mukhaffafah dan mutawassitah).
Contoh bagi mandi hadas besar (haid kering): Apabila darah haid itu kering menjelang waktu maghrib,hendaklah ia segera mengangkat hadas besar dan menggantikan dua waktu sembahyang fardhu yang tertinggal iaitu zuhur dan asar. Jika suci pada waktuIsyak maka hendaklah diqadhakan sembahyang asar dan maghrib. Begitulah seterusnya jika di waktu yang lain.
Ilmu Tasauf: Mendidik ahli keluarga supaya sentiasa berakhlak dalam beramal dan dapat menjaga segala amalannya dari dirosakkan oleh riak, sombong, bangga dan menunjuk-nunjuk serta mengadu domba. Sabda Rasulullah saw bermaksud:
“Tidak mendapati akan Allah oleh seorang dengan dosa yang terlebih besar daripada dosa yang jahil akan segala isi rumahnya.”
Ini bermakna suami yang tidak mengajar isteri-isterinya mengenai perkara-perkara yang fardhu ain dan membiarkan mereka di dalam kejahilan.
3. Memberi makan, minum, pakaian dan tempat tinggal dari sumber dan usaha yang halal. Ingatlah para suami,kewajipan kita terhadap mereka ialah melayani dengan baik dalam hal di atas. Sabda Rasulullah sawbermaksud:
“Kewajipan seorang suami terhadap isterinya ialah suami harus memberi makanan kepadanya jika ia berpakaian dan tidak boleh memukul mukanya dan tidak boleh memperolok-olokkan dia dan juga tidak bolehmeninggalkannya kecuali dalam tempat tidur (ketika isterinya membangkang).”
Berkata setengah ulama:
“Sesungguhnya sekali membeli pakaian anak isteri yang menyukakan hati mereka maka suami akan mendapat pahala selama 70tahun.”
4. Tidak menzalimi anak isteri iaitu dengan:
i. memberi didikan agama secukupnya.
ii.memberi nafkah zahir dan batin secukupnya
iii.menegur, menasihati dan menunjuk ajar jika mereka melakukan maksiat dan kesalahan.
5. Hendaklah memberi nasihat jika isteri gemar mengumpat, berleter serta melakukan sesuatu yang bersalahan dengan perintah agama. Selalulah ceritakan gambaran-gambaran wanita yang diseksa di atasperbuatan yang sedemikian.
Kaum wanita tidak digalakkan menziarahi ke rumah orang lain. Ini bukanlah bererti tidak boleh berziarah langsung. berziarah itu boleh tetapi biarlah kena pada tempatnya.
Sedangkan lidah tergigit, inikan pula kita manusia biasa. Tambahan pula bila sudah hidup bersuami isteri.kena sabar dengan kerenah suami, kerenah isteri dan anak-anak.
Di antara perkara yang boleh membawa kepada kebinasaan berkahwin apabila suami tidak memberikan nafkah yang halal kepada ahli keluarganya. memandang ringan akan hak-hak keahlian mereka apatah lagi jika membiarkan mereka susah dan menderita. Rasulullah saw telahmengingatkan dengan sabda yang bermaksud:
“Memadailah seorang itu derhaka dan dosa bahawa menghilangkan ia akan hak orang yang wajib dinafkahinya.”
Dosa yang paling berat sekali apabila suami tidak menunaikan mas kahwin kepada isterinya sepertimana yang dijanjikan. hal ini telah diperjelaskan oleh baginda dengan maksudnya:
“Siapa sahaja seorang lelaki yang mengahwini perempuan dengan mas kahwin sedikit atau banyak, sedangkan dalam hatinya ia tidak berniat untuk memberikan hak kepada perempuan tersebut (mas kahwin) kepadanya. maka ia meninggal dunia sedang ia belum memberi hak perempuantadi kepadanya maka ia akan menjumpai Allah di hari kiamat nanti dalam keadaan berzina.”
Berkata pula Imam Ghazali: Kebinasaan berkahwin ini umumnya tiada sejahtera daripadanya melainkan orang yang alim akan ilmunya yang dapat memberi manfaat di hari akhirat. Mempunyai akal yang sempurna dan baikakhlaknya malah mengetahui dengan mata hatinya akan adat dan sikap seorang wanita itu. Sabar ia di atas segala kejahatan lidah isterinya dan tidak mengikut segala kehendak hawa nafsunya melainkan bermuafakatdengan perkara yang bertepatan dengan syariat.
Sikap kita di alam bujang dan alam rumahtangga akan jauh bezanya baik yang lelaki mahupun perempuan. Apa yang lebih membimbangkan bila seorang lelaki itu telah memasuki gerbang rumahtangga di mana sikapnya di zaman bujang yang terkenal dengan kuat bersembahyang sunat,puasa sunat, bezikir dan bersedekah telah berubah.Berubah menjadi seorang yang leka dan selalu menyibukkan diri dengan anak isteri. Bekerja keras untuk mengumpul harta dan kemewahan semata-mata untukkeluarga. lebih buruk lagi bila sifatnya yang pemurah tiba-tiba menjadi kedekut dan sombong dengan harta yang ada.
Inilah masalah yang perlu diambil perhatian.Bukan sahaja kepada golongan suami, isteri sendiri mestilah memainkan peranan membantu suami dalam mengatasi masalah tersebut. Bukannya mengungkit,menghasut dan memaksa suami melakukan itu ini yang diluar batas kemampuannya. Mencari rezeki untuk memudahkan keluarga memanglah digalakkan tetapi biarlah kena pada tempat, masa dan keadaannya,janganlah pula sampai tertinggal ibadah yang wajib!Sebab, telah berkata Abi Sulaiman Ad Darani r.t:
Barang yang membimbangkan akan dikau daripada mengingati Allah swt iaitu daripada ahlinya dan hartanya dan anaknya maka iaitu celaka atasmu.
Kesimpulan, bersikap sederhanalah dalam mengatur dan menyelenggarakan sebuah rumahtangga. Sentiasalah mengadakan perbincangan dengan isteri (tambahan kalau yang beristeri lebih dari satu) terutama dalammujahadah mengikis nafsu mazmumah yang masih lagi berkarat di hati-hati kita. Seorang suami mestilah bersikap tegas di atas sikap anak isteri bila mengerjakan perkara mungkar yang berlawanan dengan syariat samada yang haram, makruh, harus ataupun perangai yang kurang beradab. Dayuslah seorang suami jika dia sama-sama menjadi tukang sokong sekaligus bersubahat dengan keluarganya. Allah sentiasa mengingatkan hamba-hambanya supaya bertolong-tolong dalam perkara yang mendatangkan kebajikan bukan sebaliknya kerana ianya mendatang dosa dan seteru.
Akhir kata, Allah telah mengingatkan para suami dengan firman yang bermaksud:
“Dan ketahuilah harta dan anakmu itu adalah fitnah.”
Maka marilah kita jagai mereka agar selamat dari bala bencana dunia akhirat. Itulah keistemewaan suami, kelebihan satu darjat kaum lelaki itu dari wanita ialah darjat suami yang bertanggungjawabdan berkewajipan dalam mengeluarkan belanja.
TANGGUNGJAWAB ISTERI
TAAT
Tanggungjawab utama seorang isteri ialah isteri perlulah taat dan patuh kepada suaminya. Kesetiaan isteri kepada suaminya perlu diutamakan terlebih dahulu lebih daripada keluarga terdekatnya sendiri.
Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW:
Sekiranya aku ini orang yang menyuruh mana-mana orang supaya sujud kepada orang lain tentu sekali aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya.
(Riwayat Abu Daud dan al-Hakim)
Sabda Rasulullah SAW:
Tidak boleh memtaati mahluk dalam perkara menderhaka kepada Allah SWT.
(Riwayat Ahmad)
Setelah berkahwin, suami mempunyai hak ke atas isteri. Oleh sebab itu, jika isteri ingin keluar rumah atau berpuasa sunat, ia hendaklah meminta izin daripada suami.
Sabda Rasulullah SAW:
Tidak halal bagi sesorang isteri yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk berpuasa, sedangkan suaminya ada di sampingnya kecuali dengan keizinan suaminya itu.
(Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan Ahmad Ibn Hanbal)
Larangan berpuasa tanpa keizinan suami ini diwujudkan kerana dikhuatiri si isteri tidak dapat melayan kemahuan si suami dengan baik. Oleh sebab itu, meminta izin adalah sangat penting.
MELAYAN SUAMI
Si isteri juga hendaklah melayan kehendak suami dengan baik pada bila-bila masa sahaja. Hubungan yang perlu dijaga ialah hubungan kelamin antara kedua-duanya. Oleh sebab itu, si isteri hendaklah memastikan bahawa ia melayan kehendak suaminya.
Sabda Rasulullah SAW:
Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur, tetapi ia enggan melayan ajakan suaminya, maka suami tidur dengan marah pada waktu malam itu, nescaya malaikat mengutuknya sampai waktu subuh.
(Riwayat sebahagian Ahli Sunnah)
Untuk mengelakkan daripada digolongkan dalam golongan yang ingkar, maka isteri perlulah memenuhi kemahuan si suami jika tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menolaknya.
MENGURUS RUMAHTANGGA
Tugas seorang isteri ialah untuk menjadikan tempat tinggalnya sebagai satu tempat untuk berehat serta menghasilkan persekitaran yang menyenangkan. Isteri hendaklah menghias rumah itu supaya ia kelihatan damai dan rasa senang hati untuk tinggal di situ. Untuk menghias rumah itu, si isteri perlulah menghias mengikut kemampuan keperluan keluarga itu. Citarasa hiasan dalaman itu bergantung kepada suami isteri asalkan ia tidak melanggar hukum Islam.
Apabila si suami memberi wang perbelanjaan kepada si isteri, maka si isteri mestilah berbelanja dengan bijak serta tidak membazir-bazirkan wang pemberian suaminya. Si isteri hendaklah berbelanja mengikut
keperluan dan bukannya hawa nafsu. Si isteri mestilah memahami keadaan ekonomi suami yang sibuk mencari nafkah yang mencukupi untuk keluarganya. Oleh sebab itu, si isteri hendaklah membuat perbelanjaan keluarganya dengan bijak supaya tidak ada perbelanjaan melebihi pendapatan. Maka, si isteri hendaklah berjimat- cermat dalam membuat pembelian supaya suami isteri itu hidup dalam serba kesederhanaan sahaja. Tanggungjawab Bersama.
Pengurusan rumahtangga adalah tanggungjawab seorang isteri. Walaupun mempunyai pembantu rumah, isteri masih bertanggungjawab untuk menyelia segala pengurusan rumah itu. Suami pula diharapkan dapat membantu si isteri dalam melakukan kerja-kerja rumah. Dengan adanya kerjasama daripada kedua-dua belah pihak, maka akan wujudlah sebuah keluarga bahagia serta dapat merapatkan lagi hubungan sesama mereka.
MENJAGA MARUAH DIRI, SUAMI DAN KELUARGA
Sebagai seorang isteri, isteri hendaklah menjaga maruah dan akhlak terutamanya apabila keluar dari rumah. Apabila si isteri keluar rumah kerana sebab-sebab tertentu seperti bekerja, melawat sanak saudara atau keluar membeli-belah, pakaian yang dipakai hendaklah menutup aurat dan tidak menjolok mata, berjalan dengan cara yang tidak menarik perhatian ramai serta berkelakuan baik. Si isteri perlulah menundukkan pandangan serta menjauhkan dirinya daripada segala fitnah yang mungkin akan berlaku.
Firman Allah:
Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka menghulurkan Jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Al-Ahzab: 59)
Seperti juga tanggungjawab si suami terhadap si isteri, segala kecacatan yang ada pada si suami hendaklah dirahsiakan. Ini adalah untuk mengelakkan perasaan aib timbul yang boleh menjurus kepada perbalahan. Sudah tentu perbalahan seperti ini perlulah dielakkan kerana ia boleh mengganggu pembentukan keluarga bahagia.
MENYENANGKAN HATI SUAMI
Apabila si suami memberikan pemberian dalam apa sahaja bentuk, adalah menjadi tanggungjawab si isteri untuk menghargai pemberian suami itu. Si isteri tidak boleh meminta-minta hadiah daripada si suami yang melebihi daripada kemampuannya. Jika mendapat hadiah walaupun yang kecil sahaja, isteri hendaklah menghargainya dan tidak mengkritik-kritik bentuk hadiah itu.
Dalam pepatah Arab ada menyebut:
"Accept the little I may give you, my love for you will grow deeper, and raise not your voice in my presence, especially when I am in a moody crisis."
(Imam al-Ghazzali)
Untuk menyenangkan hati si suami melihat si isteri, maka si isteri haruslah menjaga dirinya supaya kelihatan ceria dan menarik. Ketika berada di dalam rumah, si isteri perlulah mengenakan solekan yang sewajarnya agar suami tertarik hati melihatnya. Si isteri juga hendaklah memakai wangi-wangian yang boleh menarik perhatian si suami.
Seorang perempuan tua Arab ada menasihatkan anaknya pada hari perkahwinannya:
"O my daughter! You are leaving the home in which you were brought up for a house in which you brought up for a house unknown to you and to a companion unfamiliar to you. Be a floor to him, he will be a roof to you; be a soft seat to him, he will be a pillar for you; and be like a slave girl to him and he will be a slave boy to you. Avoid inopportune behaviour, least he should be bored with you; and be not aloof lest he should become indifferent to you. If he approaches you, come running to him; and if he turns away, do not impose yourself upon him. Take care of his nose, his eye and his ear. Let him not smell except a good odour from you; let not his eye see you except in an agreeable appearance; and let him hear nothing from you except nice, fine words. "
(Imam al-Ghazzali)
PENDORONG DAN MEMBERI MOTIVASI
Isteri yang solehah seharusnya menjadi teman berunding bagi suami, menjadi sahabt dalam menyelesaikan masalah. Itulah sebabnya hubungan suami isteri itu diertikan orang sebagi "teman hidup". Jika suami menghadapi masalah untuk mencapai cita-citanya dan keluarganya, maka berilah motivasi kepada suami disamping menghiburkan hatinya.
Dalam sesebuah institusi keluarga, ahli-ahlinya perlulah bersama-sama memikul tanggungjawab supaya pembentukan keluarga bahagia akan tercapai. Dalam hal yang sedemikian, terdapat beberapa tanggungjawab yang dipikul bersama oleh suami isteri. Kedua-duanya perlulah mendalami ilmu fardu ain. Ini adalah perlu kerana ilmu ini merupakan panduan untuk mereka dalam menjalani kehidupan seharian. Kita juga wajib menuntut ilmu sampai ke liang lahad. Dengan mempelajari lebih banyak ilmu fardu ain, suami isteri dapat menghayati kehidupan Islam lebih bermakna lagi.
Untuk menyelesaikan apa juga masalah keluarga, suami isteri perlulah sentiasa berbincang demi kebaikan bersama. Perbincangan adalah lebih baik daripada bersikap autokratik kerana kata sepakat dapat dicapai untuk kebaikan bersama dan tidak untuk kepentingan satu pihak sahaja. Malah, dengan perbincangan juga suami isteri boleh mendapat ilham baru untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi bersama. Dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing, kadang-kadang kita memerlukan pertolongan dalam hal-hal kebajikan.
Isteri kadang-kadang memerlukan pertolongan si suami untuk membuat kerja-kerja rumah. Dalam hal sebegini, adalah perlu bagi pasangannya untuk meringankan beban yang dihadapi oleh pasangannya supaya kerja-kerja dapat dilaksanakan dengan cepat dan betul. Apabila seorang daripada mereka melakukan perkara yang ditegah, adalah menjadi tanggungjawab pasangannya untuk menegur kesilapan yang telah dilakukan. Suami isteri hendaklah saling tegur menegur dan menghalang pasangan masing-masing daripada melakukan kemungkaran, sebaliknya melakukan lebih banyak hal-hal kebajikan.
Kedua-duanya perlulah bersikap jujur dan selalu menepati janji antara satu sama lain kerana perkahwinan dianggap sebagai satu institusi yang mana ahli-ahlinya perlulah saling percaya mempercayai antara satu lama lain tanpa perlu berbohong atau menyimpan rahsia. Oleh sebab itulah maka suami isteri hendaklah bersikap terbuka dan berterus terang dalam banyak hal tanpa menyembunyikan kebenaran.
Suami isteri perlulah saling memaafkan dan menasihati kerana sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Ini adalah penting kerana tanpa sikap pemaaf dan saling tegur menegur ini, maka suami isteri itu akan hidup dalam kekacauan kerana sering melakukan kesilapan tanpa ada orang yang ingin menegurnya ataupun sering berbalah kerana tidak ada sikap pemaaf itu.
Salah satu hikmah berkahwin ini ialah suami isteri dapat melakukan solat berjemaah. Seperti yang diketahui, jika kita solat berjemaah, maka pahala yang diperolehi adalah berganda-ganda daripada solat secara sendiri. Dengan melakukan solat berjemaah ini maka perhubungan ukhwah antara suami isteri dapat dipereratkan. Yang paling penting dalam kehidupan sebagai suami isteri ini ialah bertawakal kepada Allah setelah berusaha sedaya upaya untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup berumahtangga.
TANGGUNGJAWAB SUAMI DALAM NAFKAH HARTA
Isteri merupakan amanah Allah yang dipertanggungjawabkan ke atas suami untuk memeliharanya. Lazim kejadiannya memang berasal dari kejadian yang lemah atas sifat perempuannya maka sudah semestinyalah suami menjaga isterinya dengan sebaik-baik jagaan. Seorang suami mestilah tahu hak-hak yang dimiliki oleh seorang isteri dan melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Sabda Rasulullah saw:
“Takutlah kepada Allah tentang wanita (isterimu).Sebab dia engkau ambil (kahwin) dengan amanah daripada Allah.”
“………dan bagi mereka (isteri) mempunyai hak atas kamu(suami) menduduki satu darjat di atas mereka, dan Allah adalah Maha bijiksana. Yakni suami menduduki tempat sebagai pemimpin kehidupan berumahtangga yang bertanggungjawab.”
“Lelaki (Para suami) adalah pelindung dan pembela atas perempuan (isteri) berdasarkan apa-apa yang telah dilebihkan Allah bagi yang satu daripada yang lain.Dan berdasarkan apa-apa yang mereka nafkahkan denganharta mereka.”
Pemberian nafkah adalah wajib semenjak mula berlakunya akad nikah, meskipun isterinya itu seorang yang kaya raya. hak isteri itu tidak berubah dan kewajipan itu tetap ke atas suami.
Takrif nafkah, ia adalah suatu bahagian daripada hartanya yang dibelenjakan kepada orang-orang yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Manakala yang dikatakan harta itu pula mestilah dari sumber yanghalal, ia bukan hak anak yatim atau bukan hak orang lain yang disimpan kepada kita serta ia bukan dari usaha curi, rasuah, riba dan sebagainya.
Jadi, harta yang dijadikan nafkah untuk perbelanjaan isteri-isteri dan anak-anak, ia mestilah harta yang diperolehi dari jalan yang halal. Harta yang haram, ia tidak boleh dijadikan nafkah. Sabda Rasululla saw
“Setiap daging yang tumbuh dari harta yang haram,nerakalah yang senang kepadanya kelak.”
Adapun nafkah, ia terbahagi kepada 3 bahagian atau nafkah kepada 3 bahagian. Iaitu yang pertama ialah kepada isteri, yang kedua kepada anak dan yang ketiga kepada usul.
Nafkah kepada isteri, mestilah isteriyang sah atau isteri dalam ‘Iddah raj’i atau ‘Iddah yang boleh dirujuk kembali, ertinya ialah ‘Iddah dari talak satu atau dari talak dua. Tetapi ‘Iddah talak tiga tidak berhak diberi nafkah kerana ia adalah talak yang tidak boleh dirujuk kembali.
Nafkah yang diberi kepada anak, mestilah bagi anak yang sah. Anak yang di luar nikah atau anak zina,tidak wajib diberi nafkah. Takrif wajib nafkah kepada anak juga ialah anak yang bukan akil baligh. Tetapibagi anak yang sudah akil baligh, tidak wajib lagi bagi ayah untuk memberi nafkah kecuali anak itu tidak boleh mencari nafkahnya sendiri. Katalah seorang anak itu akil baligh ketika umurnya 15 tahun sedangkan masa itu dia masih belajar di sekolah. Ertinya, anak itu belum berupaya lagi mencari rezeki. Makna, ayahnya wajib memberi nafkah kepada anaknya.
Nafkah usul, ialah nafkah keturunan. Umpamanya, anak memberi nafkah kepada ayahnya. Syaratnya mestilah ibu bapa itu tadi adalah terlalu susah hingga tidak mampu menyara hidupnya. Seorang ayah yang sudah tidak mampu mencari nafkahnya sendiri, adalah berkewajipan bagianak-anaknya memberi ibu bapa nafkah. Ertinya, seorang anak yang memberi belanja hidup kepada orang tuanya,bukan dibuat suka-suka hati. Ia adalah satu tangggungjawab yang wajib.
Seorang suami perlulah mengetahui syarat-syarat yang wajib dan berhak diberi nafkah kepada isteri, bukan ikut bagi sesuka hati sahaja;
Syarat pertama ialah isteri yang taat kepada suami. Taat dalam ertikatamenyerah diri bulat-bulat kepada suami samada jiwa raganya, tenaga dan akal fikirannya. Begitu juga,menyerah diri kepada suami bererti menyerah zahir dan batinnya pada suami. Isteri yang demikian saja yangwajib diberi nafkah. Isteri yang tidak taat 100% kepada suami atau sentiasa berbalah dengan suami,tidak wajib diberi nafkah.
Syarat yang kedua ialah isteri yang tidak keluar rumah kecuali dengan izin suami. Seorang isteri itu memang dilarang oleh syariat, keluar rumah tanpa izin dari suami. Namun itu pun, hari ini begitu ramai sekali para isteri yang tidak sedar perintah ini. Mereka bebas keluar rumah sesuaka hati padahal yang dia lakukan itu adalah satu dosa. Cuma para isteri hari ini merasakan apa yang dia lakukan itu tidak apa-apa.Malah, ada setengahnya sampai berani membentak suami,kalau dia ditanya tentang pemergiannya itu.
Isteri yang keluar tanpa keizinan suami, bererti dia tidak taat dan melanggar syariat. Ketaatan pada suami bererti taat di dalam agama. Apa saja yang dilarang dan diharamkan oleh Allah dan Rasul dalam rumahtangga dan di dalam perhubungan suami isteri, isteri hendaklah taat.
Gugur nafkah bagi isteri-isteri yang tidak taat. Cuma gugur nafkah seorang isteri yang tidak taat itu,sabitnya adalah dengan syarat-syarat yang tertentu. Ertinya, ada beberapa syarat yang mensabitkan gugurnya nafkah isteri apabila dia berlaku tidak taat.
Suami-suami yang wajib memberi nafkah kepada isteri terdiri dari tiga golongan.
Pertama, suami yang kaya, kedua ialah suami yang pertengahan dan yang ketiga ialah suami yang miskin atau papa. Ketiga-tiga golongan ini ada peringkat nafkah masing-masing terhadap isteri. Seorang suami yang kaya lain ukuran nafkahnya dan suami yang sederhana kekayaannya, lain ukuran nafkahnya, seorang suami yang miskin papa, lain pula ukuran nafkahnya.
Kewajipan nafkah bagi suami yang kaya menurut yang diterangkan dalam pengertian syariat ialah, memiliki harta yang boleh dibelanjakan sehingga umur yang ghalib atau lazimnya dia boleh hidup dan kalausekiranya dia mati, masih ada baki harta itu. Itulah yang dikatakan kaya.
Umur yang ghalib seorang itu boleh hidup, ia adalah ukuran biasa yang umum berlaku dikalangan satu-satu masyarakat itu. Biasanya bagi orang-orang melayu,disekitar 55 membawa kepada 65 tahun. Itulah sekitarumur yang ghalib seseorang itu boleh hidup. Walau bagaimanapun, itu adalah ukuran mengikut akal kita.Tetapi di sisi syariat, tidak ada siapa yang boleh mengetahui kecuali Allah swt.
Bagi orang kaya, ada kaedah-kaedah nafkah yang mesti diberikannya kepada isterinya. Pertamanya, suami mesti menyediakan sebuah rumah untuk anak isterinya, sama seperti rumahnya semasa dia berada bersama ibu bapanya dahulu. Ertinya, nafkah orang kaya terhadap isterinyaadalah berat. kalau suami tidak menyediakannya,belumlah selesai tanggungjawab nafkahnya terhadap isterinya.
Kemudian, makan dan minum yang mesti disediakan untuk isterinya pula, mestilah jenis makan dan minum yang pernah dia terima semasa dia hidup bersama dengan ibu bapanya dahulu. Katalah semasa dia hidup bersama ibudan bapanya dahulu, dia makan nasi yang berasnya bernilai beras terbaik. Maka, suami mestilah menyediakan makan untuk isterinya dengan beras yang terbaik juga. Begitu juga dengan lauk pauknya yang mana kalau sekiranya semasa berada bersama ayah dan ibunya dahulu dia makan lauk yang baik-baik, maka suami mestilah memberi isterinya lauk pauk yang baik-baik juga, seperti daging, ayam dan sebagainya.
Seterusnya dalam lain-lain peralatan rumah serta dapur, semuanya mesti disediakan mengikut keadaan yang baik-baik seperti dapur gas, alat-alat perabut dan lain-lainnya, mesti juga dari barang yang baik-baik.
Sekiranya, dahulunya dia biasa dibantu oleh orang-orang gaji, maka hendaklah suami mengadakan orang gaji untuk isterinya. Dan begitulah seterusnya dalam hal-hal yang lain di dalam rumahtangga suami itu, setiap apa yang pernah ada padanya dahulu,mestilah disediakan untuk isterinya.
Tentulah berat tanggungjawab bagi seorang suami yang kaya apabila diukur dan ditinjau di sudut fekah.Apabila kita tinjau di sudut tasauf iaitu di sudut hendak mendapatkan kewarakan dalam beramal ibadah, perkara-perkara yang demikian bergantung kepada keredhaan isteri. Seandainya isteri redha, tidak mahu segala kesenangan dan kenikmatan duania kerana takut akan hisabnya terlalu berat di akhirat nanti, isteri boleh menolak semua itu dan memilih kehidupan zuhud. Tetapi harus pula seorang suami itu ingat, suami tidak boleh memaksa isterinya zuhud. Tanggungjawabnya ialah untuk menyediakan tempat tinggal, makan minum dan pakaian untuk isterinya. Ini adalah tuntutan wajib ke atasnya.
Daripada pengertian tentang memberi nafkah kepada isteri bagi suami-suami yang termasuk dalam golongan kaya, dapatlah dijadikan ukuran tentang bagaimana pula tanggungjawab suami-suami yang termasuk dalam golongan pertengahan dan golongan miskin. perlulah diingat bahawa dalam persoalan memberi nafkah kepada isteri ini, Rasulullah saw pernah bersabda:
“Takutlah kamu kepada Allah dalam urusan perempuan,sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan telah dihalalkan bagi kamu kemaluan mereka dengan kalimat Allah dan diwajibkan atas kamu memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.”
Kemudian Allah swt juga ada berfirman yang maksudnya:
“Hak (nafkah) isteri yang dapat diterimanya dari suaminya seimbang dengan kewajipan terhadap suaminya itu dengan baik.”
Dan di dalam ayat yang lain, Allah berfirman yang maksudnya:
“Tempatkanlah mereka (para isteri) dimana kamu bertempat tinggal menurut kemampuan dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka.”
Daripada pertanyaan-pertanyaan di atas jelaslah kepada kita ukuran pemberian nafkah bagi seorang suami itu terhadap isterinya. kalau suami-suami yang termasuk dalam katagori yang kaya tadi, telah digariskan kaedah-kaedah nafkah yang wajib diberikannya kepadaisterinya, maka bagi suami-suami yang pertengahan dan miskin, bolehlah kita gariskan tentang banyak mana nafkah yang wajib suami berikan kepada isterinya.Iaitu berdasarkan daripada hadis Rasulullah saw dan dari pertanyaan Allah di atas, suami-suami wajib memberi nafkah kepada isteri-isterinya mengikut kemampuannya serta menurut keadaan dan tempat.
Begitulah tuntutan nafkah zahir kepada para isteri yang wajib bagi suami-suami melaksanakannya.Seandainya para isteri bagi suami yang miskin atau pertengahan kaya meminta lebih dari yang mampudisediakan oleh suami, sabda Nabi saw.:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya.”
Menganai nafkah dua orang suami isteri yang sama-sama bekerja samada sama-sama menjadi guru, sama-sama bekerja di pejabat atau sama-sama menoreh getah dan sebagainya. Sebenarnya persoalan ini adalah amat berat kerana ia melibatkan harta pusaka yang tidak dapat ditentukan siapa punyanya. Seandainya, dalam soal kedua-dua mencari nafkah ini ditakdirkan suami meninggal atau ditakdirkan isteri meninggal, bagaimana pula kedudukan harta yang ditinggalkan.
Dalam hal ini, jika meninggallah salah seorang di antara keduanya, harta yang tinggal tidak boleh dipusakakan kerana harta yang tinggal itu tidak tentu siapa yang punya. Harta itu sudah bercampur adukantara nafkah isteri dengan nafkah suami. Syariat hanya menganggap hasil pencarian suami sahaja yang dijadikan harta pusaka untuk anak isteri tetapi isteri tidak boleh mencari nafkah untuk menjadikannya harta.Setiap wanita hanya boleh memiliki harta melalui peninggalan ayah ibu atau pun adik beradik atau pengninggalan suami.
Sekiranya seorang itu bekarja serta berusaha dan berikhtiar untuk menambahkan pendapatan keluarga, satu pejanjian antara isteri dan suami mesti ada untuk mengikrarkan harta sama sepencaria itu. Di antaraikrar-ikrar yang boleh dibuat ialah seperti misalnya,suami mengatakan kepada isteri bahawa seluruh harta yang mereka cari bersama itu adalah hak suami,walaupun bahagian isteri yang mencari ada di dalamnya. Tetapi suami boleh mengikrarkan semuanya harta dia. Sekiranya suami meninggal, seluruh yang ada pada harta itu, adalah menjadi harta pusaka yang boleh dibahagi-bahagiakan. Begitu juga, suami boleh mengikrarkan kepada isteri tentang harta yang sama-sama dicari itu dengan mengatakan bahawa semuanya adalah hak isterinya. Sekiranya suami meninggal,seluruh harta yang tinggal itu adalah hak isterinya.
Boleh juga, di antara suami isteri yang sama-sama mencari nafkah mengasingkan harta masing-masing.Misalnya, kalau isteri membeli pinggan mangkuk hasil pencariannya, isteri boleh menyatakan kepada suaminya bahawa pinggan mangkuk itu adalah hartanya. Dalam soal ini mesti ada perjanjian bertulis, kerana ia tidak akan menjadi perbalahan apabila meninggal salah seorang antara kedua nanti. Dan yang selebih baiknyaialah dengan memanggil ahli-ahli keluarga waris untuk menjadi saksi. Ini adalah amat mustahak sekali kerana ia melibatkan soal paraid atau pembahagian harta.
Soal suami isteri yang sama-sama bekerja mencari nafkah sudah menjadi perkara biasa hari ini. Kalau sama-sama tidak jelas tentang harta danfaraidharta,takut-takut nanti seluruh isi keluarga memakan hartayang haram. Sedangkan isteri yang pergi bekerja itu pun, isteri mesti hati-hati sungguh kerana takut-takut isteri membawa balik harta yang haram. Hal ini mudah sangat berlaku. Andainya isteri pergi bekerja
itutanpa lafaz izin dari suami atau tidak menutup aurat,bermakna isteri keluar rumah secara haram. Jadi, suami kenalah melafaskan izin setiap hari kepada isteri serta mensyaratkan kepada isteri setiap kali pergibekerja dengan menutup aurat. kemudian harta yang jadi sama-sama sepencarian itu pula hendaklah dinyatakan,apakah boleh ia dimakan bersama. Kalau tidak,takut-takut nanti suami memakan harta haram.
SUAMI YANG LALAI DALAM TANGGUNGJAWAB
Kemampuan sesorang itu memimpin diri dan ahli keluarganya ke jalan yang benar akan dapat mengelakkan dirinya dari kebinasaan (terjun ke dalam neraka).Jadi, kalau dia dapat mengelakkan dirinya dan ahli keluarganya dari terjun ke neraka, maka itulah bukti cintanya yang sebenar. Allah swt. terlah berfirman yang maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu pelihara dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang mana bahan pembakarnya adalah terdiri dari manusia-manusia yang sombong dan engkar kepada Allah iaitu mereka yang kufur, munafik, musyrikin dan juga daripada batu-batu berhala……”
Allah swt menyuruh kita memelihara diri kita mentaat segala peraturan Allah yang telah diperintahkan samada perintah-perintah yang berbentuk fardhu ain, fardhu kifayah, sunat-sunat Muakad dan Khair Muakad. Inilah bentuk-bentuk perintah Allah yang mesti kita taati dan patuhi. Semua amalan perintah ini hendaklah kita lakukan dengan ikhlas dan jujur dengan niat semata-mata kerana Allah dan bukan lain dari Allah.
Maksud ‘Peliharalah diri kamu’ itu bukan sahaja sekadar mentaati segala perintah Allah tetapi juga adalah menjauhi segala larangan Allah kepada diri kita seperti dosa-dosa besar, dosa-dosa kecil dan juga larangan yang mendatangkan makruh. Contoh-contah dosa besar seperti berzina, minum arak, makan riba, mencuri dan lain-lain. Manakala dosa-dosa kecil seperti melihat sesuatu yang diharamkan oleh Allah atau bergaul lelaki perempuan yang diharamkan oleh Allah dan sebagainya. Dalam perkara makruh juga perlulah dielakkan kalau kita hendak memelihara diri daripada seksa api neraka.
Allah swt. maksudkan ‘Ahli keluarga kamu’ itu ialah,isteri-isteri kita, anak-anak, orang-orang gaji dan sesiapa saja yang di dalam jagaan kita. Tanggungjawab kita kepada ahli keluarga ialah menjaga, mendidik,mengajar dan memimpin mereka dalam melakukan perkara-perkara sepertimana yang Allah tanggungjawab pada diri kita sendiri. perlulah disuruh anak isteri melakukan perkara-perkara yang berbentuk fardhu ain,fardhu kifayah dan perkara-perkara sunat yang lain.Wajib pula menghalang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah seperti berzina, mencuri, dedah aurat, mengumpat, hasad dengki, takbur, riak dan lain-lain lagi.
Jelaslah di sini bahawa peringatan Allah dalam memelihara diri lita bukanlah terhad kepada diri kita sahaja, ia adalah meliputi seluruh keluarga kita serta mereka-mereka yang berada di dalam jagaan dan keluarga kita. Kalau kita tidak memimpin dan mendidik ahli keluarga kita, kita masih lagi belum terlepas dari seksaan api neraka. Kerana Allah telah perintahkan,“peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu.”
Sesungguhnya seorang hamba Allah itu diperhatikan dihadapan mizan atau neraca atau timbangan di hari kiamat nanti sedangkan bagi seseorang itu mempunyai amalan yang banyak seperti gunung besarnya. Tetapi setelah ditanya tentang bagaimana ia mengendalikan ahli keluarganya dan bagaimana ia mengusahakan harta yang didapati iaitu dari mana ia mendapatnya dan ke mana ia belanjakan. Setelah ditanya semunya sehingga habis semua amalannya yang banyak itu dan yang tinggal hanyalah dosa-dosanya sahaja.
Daripada hadis Rasulullah saw yang menunjukkan bagaimana amalan seseorang itu walau sebesar manapun akan hapus disebabkan ia tidak melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isteri dan anak-anaknya dan semua mereka yang berada di dalam jagaannya, maka berkatalah malaikat,bahawa inilah orangnya yang telah menghapuskan semua amalan kebajikan oleh ahli-ahlinya dan anak-anaknya semasa di dalam dunia.
Adalah diriwayatkan oleh setengah-setengah ulama bahawa sesungguhnya pertama-tama yang bergantung kepada seseorang lelaki itu ialah isteri dan anak-anaknya. Maka, memberhentikan akan dia itu oleh mereka di hadapan Allah dan berkata mereka itu kepada Allah, ‘Wahai Allah! Ambil olehmu bagi kami dengan hakmu daripada lelaki ini. Iaitu selesaikan dulu hak kami dan kewajipan lelaki ini terhadap kami, sebab ia tidak mengajar kepada kami suatu hukum pun. Lelaki ini tidak menunjuk ajar kepada kami tentang hukum-hukum syariat dan hukum-hukum agama yang telah Engkau turunkan ke dunia. Oleh itu kami sekarang hendak menuntut hak kami. Kerana dialah kami jahil. Kami tidak kenal apa-apa melainkan makan minum dan rumahtangga kami sahaja. Hati kami gelap dan akal kami pun gelap dan hati kami juga buta.Dan lelaki ini telah memberi kami makanan daripada harta-harta yang haram.Dia menerima harta riba dan rasuah dan diberinya kami makan.Dia membeli barang-barang najis dan menyuruh kami makan. Sedangkan kami mengetahui pada ketika itu samada barang itu haram atau halal.Baru hari inilah kami sedar.Oleh itu Wahai Tuhan,tahanlah ia dahulu, dan kami minta segala kesalahan yang ada pada kami serahkan padanya.
Maka pada ketika itu setelah anak dan isteri mengadu dan merayu kepada Allah, Allah menerima segala pengaduan kerana saksi-saksinya telah jelas. Dan kalaulah pada ketika itu kita masih cuba berbohong,maka setiap helai rambut kita, semuanya akan menjadi saksi. Setelah diadili setiap kesalahan yang diadukan oleh anak isteri itu, maka Allah membalas akan kesalahan itu dengan siksa yang amat pedih dan dahsyat walaupun kebajikannya banyak dan walaupun timbangan amalnya begitu berat sekali. Kesalahannya terhadap anak isteri kerana tidak menyampaikan seruan agama ketika di dunia hingga menyebabkan mereka jahil itu boleh menghapuskan semua amal kebajikannya. Akhirnya suami itu terjerumus sama ke dalam neraka.
Adapun salah satu daripada kebinasaan yang boleh menimpa kepada seorang suami sepertimana yang difirmankan di dalam Al Quran yang maksudnya:
“Wahai sekelian orang yang beriman, janganlah segala harta-harta dan anak-anak kamu cuba melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Barang siapa yang berbuat demikian itu, merekalah orang-orang yang rugi di akhirat kelak.”
Firman Allah lagi yang maksudnya:
“Barangsiapa yang berpaling dari mengingatKu (Allah),maka hidup yang sesat sempitlah jadi baginya.”
Ingatlah satu peringatan Allah kepada seorang suami agar suami-suami sedar bahawa harta-harta serta anak-anak isteri boleh melalaikan mereka daripada mengingati Allah atau khusyuk di dalam beribadah kepada Allah.
Di antara perbuatan mengingati Allah yang terpenting sekali ialah sembahyang. Kalau di dalam sembahyang kita asyik teringat bagaimana hendak mengumpul harta untuk memberi kemewahan dan kesenangan kepada anak isteri atau bagaimana hendak memujuk hati isteri supaya dia sentiasa gembira, maka jangan mimpilah di dalam perkara-perkara lain kita boleh ingat kepada Allah seperti ketika kita bekerja mencari rezeki,ketika kita mendapat kesenangan dan sebagainya. Dan yang paling menyedihkan ialah dalam usaha dia mengumpulkan harta-harta itu, dia tidak akan menghiraukan lagi tentang larangan-larangan Allah dan tidak memikirkan bagaimana hendak mendapatkan harta yang halal. Orang-orang seperti inilah yang akan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang membinasakan diri di sebabkan oleh anak dan isteri.
Dalam pada hati seseorang itu sentiasa bimbang untuk mendapat berita untuk anak dan isteri yang kononnya akan menjadi bekalan bagi mereka apabila dia telah mati nanti, maka kata ulama, orang seperti ini biasanya akan menjadi orang yang bakhil, lokek dan kikir. Apabila seseorang itu sudah bakhil, lokek dan kikir, inilah celaka yang paling besar yang boleh membinasakan dirinya. Bukan sahaja bakhil yang dimilikinya itu merupakan bakhil yang berkaitan kepada perkara yang menjadi wajib bagi dirinya, seperti mengeluarkan zakat dan membantu fakir miskin serta anak yatim.
Kalau hartanya telah menjadi begitu banyak, rasa takut dan bimbang lahir di dalam hatinya kalau-kalau dicuri orang, maka dia akan menyimpannya di dalam bank. Hasil dari simpanan itu, hartanya akan bertambah atau beranak-ranak kerana riba yang dibayar oleh bank.Dengan demikian akan bertambah lagi satu kecelakaan bagi dirinya. Lebih-lebih lagi celaka bagi dirinya,kalau dia hanya mengeluarkan bunga dari simpanannya itu untuk makan minum dan belanja anak isterinya.Jelaslah suami itu sendiri memasukkan najis ke dalam perutnya dan perut anak isterinya.
Lagi satu kebinasaan yang akan menimpa kepada seseorang suami itu sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ghazali ialah akibat daripada suami-suami yang tidak melaksanakan hak kepada anak-anak dan isteri.Mereka-mereka ini adalah terdiri dari suami-suami yang tidak berani menegur atau menunjuk ajar anak isterinya sehingga sanggup membiarkan mereka melakukan perbuatan yang melanggar syariat.
Perkara yang melanggar syariat yang boleh dilakukan oleh anak isteri adalah banyak sekali daripada perkara yang haram hinggalah kepada perkara yang makruh dan dari kemungkaran yang kecil-kecil hinggalah kepada kemungkaran yang besar-besar. Seorang suami itu boleh menerima kecelakaan, kalau anak-anak dan isterinya melakukan kemungkaran atau melanggar syariat seperti mengumpat, mengeluarkan kata-kata lucah, mendedahkan aurat, mendengar lagu-lagu yang mengkhayalkan atau anak-anak perempuannya atau isterinya memandang kepada seseorang lelaki yang bukan muhrimnya.
Begitu juga, syariat melarang keras suami tunduk dan menjadi hamba kepada isterinya. Kecelakaanlah bagi suami-suami yang mengikut cakap isterinya dengan ertikata cakap-cakap isteri yang melanggar hukum-hukum syarak.
Misalnya, di dalam soal poligami. Allah swt mengizinkan suami untuk berkahwin lebih dari satu iaitu dua, tiga dan empat. Syariat tidak mensyaratkan suami untuk mendapat keizinan isteri kalau hendak berkahwin lagi satu samada yang kedua, ketiga atau keempat. Kalaulah ada syarat-syarat yang menghendaki suami meminta izin daripada isteri-isteri untuk berkahwin lagi satu, ini adalah satu kecelakaan kepada suami kerana suami terpaksa tunduk kepada isterinya dalam hendak melaksanakan perkara yang dibenarkan oleh syariat.
Ertinya, kalaulah ada suami yang hendak berkahwin lagi satu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana terpaksa meminta izin kepada isterinya, suami telah menjadi hamba kepada isterinya. Di sini bukan pada suami sahaja yang berlaku kecelakaan itu, malah pada isteri pun demikian juga kalau isteri-isteri yang menghalang suami berkahwin lagi satu adalah menentang hukum syarak.
Seorang suami yang tidak berani menegur atau menunjuk ajar anak isterinya atau menjadi Pak turut, suami itu telah tunduk kepada hawa nafsu isterinya. Suami seperti ini, sebenarnya tidak dapat menunaikan hak terhadap isteri dan anak-anaknya, maka suami itu dianggap sebagai seorang yang dayus. Orang yang dayus tidak akan masuk syurga. maka tersuratlah di depan pintu syurga sepertimana firman Allah swt yang bermaksud:
“Engkau hai syurga haramlah atas segala lelaki yang dayus.”
Inilah ancaman kepada seorang suami yang tidak dapat menunaikan hak terhadap isteri dan anak-anaknya, suatu ancaman yang datang dari Allah swt dan Rasulullah saw. Di dunia ini kita diancam tetapi bila di akhirat kelak kita tidak akan diancam lagi tetapi kita akan ditempelak. Allah akan tempelak kita sebagaimana firmannya yang bermaksud:
“Adakah tidak kami datangkan ke atas kamu Rasul-Rasul?Menerangkan kepada kamu ayat-ayat Kami,pengajaran-pengajaran Kami tentang suruh dan larangan.Kenapa kamu tidak suluh? Kerana apa kamu tidak terima?Kerana apa kamu tidak ikut? Meraka akan jawab, “Ya Allah! Rasul-Rasul sudah datang, Rasul-Rasul sudah terangkan dan Rasul-Rasul telah tinggalkan semua itu kepada kami. Tetapi kami lupa dan kami yang buta.“Kemudian di jawab Allah,” “Apa boleh buat kerana sekarang ketetapan azab sudah berada, ketepatan azab sudah berlaku, ketepatan azab sudah tetap di atas kamu. Kamu akan terjun ke neraka.”
Jelas sepertimana apa yang dikatakan oleh Imam Ghazali bahawa orang yang tidak mampu mengajar anak isterinya,tidak mampu menerangkan hukum-hukum Allah dan tidak mampu menyampaikan yang hak kepada anak dan isterinya,maka dialah orang yang menempah jalannya ke jurang kebinasaan iaitu terjun ke dalam neraka.
Kemudian menurut Imam Ghazali lagi, bahawa sesungguhnya kebinasaan yang terdapat bagi seseorang yang berumahtangga itu adalah sangat banyak dan sangat merata, hingga tidak dapat hendak diperkatakan satu persatu. Seseorang itu tidak akan dapat sejahtera daripada kebinasaan ini melainkan orang itu benar-benar mempunyai ilmu pengetahuan agama dan mempunyai hikmah dan kebijaksanaan dalam memimpin dan mendidik anak isteri di dalam rumahtangga. Dan orang itu pula adalah yang mendapat pimpinan Allah setelah dia benar-benar suami yang sentiasa berdoa dan memohon sungguh-sungguh kepada Allah agar Allah membantu dia dalam mendidik dan menakluki anak isterinya, agar dia benar-benar dapat menunaikan kewajipan-kewajipan yang telah diamanahkan Allah swt kepada anak dan isteri.Dan akan anak dan isteri pula sanggup menerima dengan lapang dada.
Dalam hal ini tunjuk ajar suami adalah dengan tujuan agar anak dan isteri dapat memiliki iman orang-orang saleh kerana apabila mereka dapat memiliki iman ini, mereka juga kelak akan beramal sebagaimana orang saleh beramal. Dan sekiranya suami tidak berupaya menunjuk ajar mereka, serahkan kepada tok-tok guru..Ajak mereka mengaji Fardhu ain sama-sama. Sebab ini adalah kewajipan suami yang bukan saja tinggal di dunia saja tetapi akan berkait hingga ke akhirat. Di sana sebagai suami akan ditanya dan akan diungkit lagi oleh Allah swt.
ditulis oleh: Syasya
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home