Lelaki dan Keluarga
Firman Allah SWT di dalam al-Quran, Surah al-Furqan ayat 74:
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh dari isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi orang-orang yang bertaqwa”
Ayat di atas merupakan siri sifat mulia yang Allah SWT senaraikan di dalam surah al-Furqan sebagai sifat “Ibaad ar-Rahmaan” atau “hamba-hamba bagi Tuhan yang Pengasih”. Ia meliputi sifat-sifat mukmin secara individu, mukmin sebagai da’ie, mukmin yang mentaati Allah sesempurnanya dan mukmin yang mencegah dirinya dari sifat-sifat keji dan perlakuan jenayah yang mencela Tuhan lagi mendatangkan mudarat kepada sesama manusia.
Namun, salah satu daripada sifat keutamaan hamba-hamba Allah ini, adalah sifat dan peranannya sebagai pemimpin kepada keluarga. Bukan sahaja beliau berusaha gigih membentuk diri sebagai seorang mukmin yang sejati, beliau juga tidak lupa untuk membawa keluarganya ke gerbang kejayaan yang hakiki. Ini adalah sifat sebenar bagi orang yang berjaya, kerana mereka yang berjaya bukanlah dari golongan yang berjaya sendirian. Orang yang benar-benar berjaya adalah mereka yang membawa orang lain untuk berjaya bersama-sama dengannya. Dan sudah tentulah orang lain yang paling utama untuk dibawa bersama ke mercu kejayaan adalah isteri dan anak-anak.
Walau bagaimana pun, doa seorang mukmin yang bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya ini, mestilah diteliti dengan cermat kerana terdapat banyak sentuhan halus al-Quran yang wajar dijadikan bahan penitipan tarbiah.
Mungkin bagi seorang suami dan bapa yang ‘biasa’, doanya bersahaja. Dia akan memohon kepada Allah SWT supaya menjadikan isteri dan anak-anaknya sebagai orang-orang yang bertaqwa. Mungkin beliau akan berkata “Ya Allah, jadikanlah diriku, isteri dan anak-anakku sebagai orang yang bertaqwa”.
Namun kehalusan al-Quran (Lathaa’if Qur’aaniyyah) mengolah doa seorang suami dan bapa yang bersifat dengan sifat Ibaad ar-Rahmaan dengan cara yang lebih teliti. Renungi kembali ayat al-Quran tersebut:
“Serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi orang-orang yang bertaqwa”
Doa tersebut menggunakan konsep Imam dan Makmum di dalam pengendalian peranan suami dan bapa. Ia lebih kukuh kepada mendatangkan makna seorang mukmin yang sejati kerana doa ini adalah doa yang di dalamnya ada amali. Ia bukan doa yang miskin usaha, sebaliknya doa yang disertai dengan pengorbanan, kesusahan dan ikhtiar. Mana mungkin begitu mudah kita memohon agar Allah mengurniakan ‘penyejuk mata’ melalui isteri dan anak-anak tanpa terlebih dahulu kita berikhtiar, sebagai memenuhi Sunnatullah yang memberi kepada yang berusaha?
KEPIMPINAN MELALUI TELADAN
“Jadikanlah kami sebagai imam bagi orang-orang yang bertaqwa”. Sebelum seorang mukmin memohon agar Allah menjadikan isteri dan anaknya sebagai orang yang bertaqwa, beliau memohon agar dirinya menjadi imam kepada golongan muttaqin ini. Ertinya, jika dia mahu isteri dan anaknya bertaqwa kepada Allah, maka dialah yang terlebih dahulu menjadi orang yang paling bertaqwa, sebagaimana imam yang memiliki kelebihan yang lebih daripada makmum. Maksudnya, doa ini mengajar kepada kita supaya membentuk diri agar menjadi seorang yang bertaqwa, lantas dari situlah nantinya, Allah melapangkan dada isteri dan anak-anaknya untuk menyusuri jalan Taqwa yang sama. Sesungguhnya di sinilah letaknya soal kepimpinan melalui teladan, mengajar melalui tingkah laku dan bukan hanya dengan konsep carrot and stick sebagai metodologi mudah amalan kebanyakan kita. Walk your talk, itulah kunci kejayaan di dalam memimpin sebuah rumahtangga yang bertaqwa.
SIFAT BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP JEMAAHNYA
Di antara aspek yang boleh ditonjolkan melalui konsep Imam dan Makmum ini adalah rasa tanggungjawab yang ada pada diri seorang imam terhadap makmum yang mengikutnya. Imam mengambil 100% tanggungjawab memimpin jemaahnya agar dapat menunaikan solat dengan betul mengikut kaifiyat serta berdisiplin di dalam perlakuannya. Imam perlu membetulkan saf makmum, membaca ayat-ayat al-Quran yang mendidik jemaahnya, serta menampung kekurangan makmum di dalam pembacaan al-Fatihah dan lain-lain.
Begitulah konsep yang sama di dalam sebuah keluarga. Seorang suami dan bapa hendaklah mengamalkan sikap bertanggungjawab terhadap segala keadaan isteri dan anaknya. Beliau mendisiplinkan mereka, manakala salah laku dan kecacatan yang ada pada isteri dan anak hendaklah dipulangkan kepada diri suami dan bapa. Renungi sejauh mana kita telah melaksanakan tugas tersebut dan apakah dosa peribadi yang telah kita lakukan sehingga kesannya tertimpa kepada isteri dan anak-anak.
Masyhur sekali kisah seorang anak yang gemar mencuri pensel kawan-kawannya di sekolah kerana ayahnya sendiri sering membawa pulang pen pejabat ke rumah untuk kegunaan peribadi. Anak berdosa, isteri ingkar, jangan segera menyalahkan mereka tetapi muhasabahlah diri kerana itu etika seorang imam terhadap makmumnya.
BERHUBUNG DAN TIDAK MUFARAQAH
Salah satu elemen yang penting di dalam pembentukan sebuah institusi imam dan makmum dan hubungan yang wujud di antara mereka.
Imam mestilah sentiasa berhubung dengan makmum. Ia berlaku melalui suara pembacaannya yang cukup jelas untuk diamati serta perbuatannya yang dapat dilihat oleh makmum untuk diikuti. Tidak mungkin dan tidak harus bagi seorang imam untuk berada di tempat yang tidak dapat diikuti oleh makmumnya. Dia harus sentiasa mengekalkan hubungannya dengan makmum. Terus berhubung, kerana melalui perhubungan itulah peranan imam terlaksana.
Hal ini mengingatkan kita kepada suatu sajak di dalam buku Chicken Soup for the Teenage Soul on Love & Friendship (Chicken Soup for the Teenage Soul) oleh Jack Canfield, Mark Victor Hansen dan Kimberly Kirberger
“If I had My Child to Raise Over Again”By Diane Lemons(From Chicken Soup for the Soul)
If I had my child to raise all over again :I’d build self-esteem first, and the house later.I’d finger-paint more, and point the finger less.I would do less correcting and more connecting.I’d take my eyes off my watch, and watch with my eyes.
I would care to know less and know to care more.I’d take more hikes and fly more kites.I’d stop playing serious and seriously play.I would run through more fields & gaze at more stars.
Ayat “I would do less correcting and more connecting” mestilah direnungi secara serius oleh setiap bapa dan suami. Selalu benar seorang suami itu cenderung kepada correcting terhadap kesalahan isterinya sedangkan hak isteri untuk ‘dihubungi’ oleh suaminya tidak dipenuhi. Kita bersama tetapi terpisah, kita dekat tetapi jauh, kita sebumbung tetapi seorang di suatu lembah manakala seorang lagi di lembah yang lain. Sukar sekali di dalam masyarakat Melayu kita yang less expressive untuk membuka hati dan mulutnya, membina hubungan dengan isteri yang mahu didengari dan ‘dihubungi’. Budaya ‘man-to-man’, ‘heart-to-heart’ dan lain-lain bentuk komunikasi amat asing dari masyarakat kita kerana kita cenderung memendam, berdendam dan akhirnya amuk dan binasa.
Lebih parah adalah sikap bapa yang tidak berhubung dengan anak-anak. Kita mengambil falsafah burung membesarkan anak-anak kita yang manusia. Kita bina sarang di dahan yang tinggi untuk keselamatan, kita keluar awal pagi untuk mencari rezeki dan kemudian pulang ke rumah dengan rezeki untuk disuap ke mulut anak-anak yang menjerit-menjerit seperti anak burung itu tadi.
Namun, perlulah diinsafi bahawa anak-anak kita menjerit bukan semata-mata kerana perut yang lapar dan fizikal yang berhajat, namun jiwa mereka turut kelaparan. Mereka mahu ‘dihubungi’. Mereka mahu didengari, mereka mahu rasa ‘dekat’ dengan bapa mereka. Lihat sahaja perilaku Rasulullah SAW yang membelai rambut anak cucunya, mencium mereka, berhenti berceramah untuk memeluk Hasan serta Husain, sujud lama kerana membiarkan Husain yang sedang menunggang Baginda dan pelbagai contoh Baginda membina body contact.
Daripada Anas RA, Rasulullah SAW juga diberitakan memberi salam kepada kanak-kanak. Baginda juga tidak meminggirkan kanak-kanak dari gurau senda dan perbualan seharian Baginda SAW.
Dari Sahl bin Saad as-Saa’idi RA, bahawa Rasulullah SAW pernah suatu ketika dihindangkan dengan minuman. Di kanan Baginda terdapat seorang kanak-kanak, manakala di sebelah kiri adalah orang-orang dewasa. Selepas meminum sebahagian minuman tersebut, Baginda SAW bertanya kepada budak itu: “adakah kamu izinkan aku memberikan air ini kepada mereka (orang-orang dewasa)?” Lalu budak itu menjawab: Tidak, demi Allah aku tidak akan lepaskan bahagianku darimu kepada sesiapa pun!
MEMBETUL DAN DIBETULKAN
Isteri dan anak adalah amanah yang mesti dipelihara dengan baik. Kesilapan dan kekurangan mereka hendaklah dipantau. Hubungan yang kukuh di antara imam dan makmum, membolehkan proses membetulkan itu dilakukan dengan baik oleh imam. Begitulah perihalnya dengan bapa atau suami dengan isteri dan anaknya. Mulakan kewajipan membetul itu dengan membina hubungan terlebih dahulu. Sebagaimana jemaah menolak untuk dipimpin oleh imam yang dibenci, begitu jugalah isteri dan anak akan menolak nasihat dari seorang lelaki ‘asing’ bernama suami dan ayah.
Namun, di dalam melaksanakan kewajipan itu, imam juga bersedia untuk dibetulkan. Jika sedang menjalankan tugasnya sebagai imam di dalam solat, ada kesilapan yang berlaku, makmum berhak bahkan dituntut untuk membetulkan imam.
Demikianlah keadaan bagi sebuah rumahtangga yang bertaqwa. Seorang suami atau ayah yang sedang melaksanakan tugasnya sebagai imam, pasti sesekali akan melakukan kesilapan yang lazimnya berpunca dari alpa dan leka. Maka isteri dan anak-anak hendaklah mengambil peranan membetulkan kesilapan itu dengan cara-cara yang sopan dan mulia. Dalam masa yang sama, ketua keluarga tersebut hendaklah pula berlapang dada menerima teguran kerana matlamat dan tujuan rumahtangga itu adalah keredhaan Allah. Fokus rumah tangga itu adalah menyempurnakan apa yang Allah suruh dan apa yang Allah larang. Ketika sedang menuju Allah, kita bahu membahu menyusuri jalan yang panjang itu.
TIDAK MELEBIHI HAD LAJU
Seorang imam yang bertimbang rasa akan sentiasa peka dengan keupayaan dan keadaan makmumnya. Makmum yang tua akan dirai dengan tidak terlalu memanjangkan bacaan. Makmum yang muda terhibur dengan bacaan yang jelas lagi bertenaga. Janganlah pula imam itu terlalu laju sehingga membiarkan jemaahnya tunggang langgang. Atau seronok sendiri sehingga makmumnya tercicir.
Begitulah keadaannya ketika sebuah rumah tangga yang dipimpin oleh seorang hamba kepada Tuhan yang Pengasih. Ketika dia dalam perjalanan menuju Allah, janganlah sekali-kali isteri dan anak-anak itu ditinggalkan.
Andaiannya, selepas kita berhenti rehat semasa di lebuhraya, lantas tiba-tiba menyedari yang anak kita tertinggal di kawasan rehat, 40km di belakang, bayangkan perasaan kita semasa itu. Bayangkan betapa cemasnya kita mencari u-turn atau simpang untuk berpatah balik menyelamatkan anak yang sudah tentu sedang menangis teresak-esak di celah kekecohan orang ramai.
Namun, apakah perasaan kita sama semasa kita meninggalkan anak dan isteri di dalam perjalanan kita menuju Allah. Kita sibuk dengan kerja-kerja kebajikan serta pertempuran mencari rezeki menampung kehidupan, tidakkah ramai di kalangan kita yang membiarkan anak kita keciciran dan sedar-sedar kita sudah tiada u-turn untuk kembali menyelamatkannya.
Janganlah terlalu deras menurut desakan keperluan hidup sehingga kita tercicirkan isteri dan anak yang kebingungan itu. Jangan sekali-kali…
ERTI DOA YANG SEBENAR
Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh dari isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi orang-orang yang bertaqwa”
Sesungguhnya doa ini amat besar maknanya. Ketika menadah tangan memohon hidayah dari Allah, mohonlah dengan sedar supaya Allah menjadikan kita terlebih dahulu sebagai insan paling bertaqwa, kerana yang paling bertaqwa itulah sahaja yang layak menjadi imam bagi makmum yang bertaqwa.
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah dari manusia dan batu. Di atasnya ada malaikat yang amat keras dan mengerikan. Mereka tidak sekali-kali membantah apa sahaja yang Allah perintahkan, bahkan mereka terus melaksanakan apa yang diperintah (oleh Allah)” [At-Tahrim 66 : 6]
PREPARED BY : SITI FARAH LOKMAN
AL-8.3
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home