Perkahwinan Misyar III
Isu kahwin misyar yang dicadangkan diperkenalkan di Malaysia telah menimbulkan banyak kontroversi di kalangan umat Islam berikutan perdebatan hebat di kalangan ulamak yang bersetuju dan juga sebaliknya. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil turut membantah cadangan ini dan berpendapat perkahwinan ini tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana ia bukanlah penyelesaian terbaik bagi menangani masalah ramai wanita tidak berkahwin. Tambahan pula perkahwinan ini mensyaratkan wanita perlu membuat pengakuan bertulis tentang kesediaan wanita untuk tidak dijanjikan nafkah zahir atau melakukan giliran(bagi kes poligami) dan bersedia menanggung risiko bagi mengelak masalah berbangkit pada masa hadapan. Maksud Misyar dibaca mis-yaar berasal daripada kata sayr yang bererti berjalan atau mengembara dan mempunyai erti banyak atau selalu berjalan, mengembara dan akhirnya kita boleh sebut sebagai pengembara. Perkahwinan misyar membawa maksud perkahwinan yang tidak terikat dengan syarat, keperluan dan hak-hak dalam perkahwinan di mana suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian dan cukup sekadar memenuhi nafkah batin terhadap isteri. Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab. Amalan sebegini dibenarkan dan pernah terjadi berdasarkan situasi mashalahat di mana terdapat ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin. Isu nikah misyar menjadi topik perbualan hangat di negara kita apabila banyak pihak mendesak pihak Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa sama ada ianya boleh dilaksanakan atau tidak di sini. Kesudian dan kehadiran Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi ke Jabatan Agama Islam Selangor menjelaskan lagi maksud kahwin misyar yang dicadangkan beliau kepada pegawai dan kakitangan jabatan khususnya. Beliau menjelaskan bahawa "Kahwin Misyar" yang beliau maksudkan adalah " perkahwinan di antara perempuan yang kaya, berada, berkerjaya tinggi dan belum berkahwin dengan lelaki bujang yang berperibadi dan berakhlak mulia, baik tetapi tidak kaya dan berharta. Syarat-syarat perkahwinan tetap sama iaitu ada wali, saksi, mas kahwin dan akad yang sama sepertimana perkahwinan lain. Mereka berkahwin suka sama suka tetapi lelaki itu tidak menjanjikan sara hidup yang banyak untuk wanita tersebut. Namun begitu, suami itu boleh memberi nafkah mengikut kemampuannya, terpulang kepada wanita itu untuk menggunakannya atau cukup sekadar dengan wang perbelanjaannya sendiri. Jika wanita itu berniaga, maka lelaki itu sama-sama mengusahakan perniagaan bersama isterinya. ". Beliau tidak ingin menyebut isu ini lagi kerana menurut beliau masyarakat negara ini amat beremosi dan mudah melenting apabila isu-isu sebegini disentuh. Menurut beliau, perkahwinan sebegini sebenarnya telah pun wujud di negara kita. Ia bukanlah sepertimana perkahwinan misyar yang diamalkan oleh masyarakat di negara Arab. Beliau sengaja mengemukakan cadangan ini kerana ingin mengajak semua pihak termasuk ulama', pemimpin dan masyarakat berfikir tentang isu ini. Masyarakat beranggapan, lelaki bertaraf rendah yang berkahwin dengan wanita bertaraf tinggi itu dengan istilah 'makan duit bini' dan pelbagai lagi persepsi negatif. Persepsi sebeginilah yang mengakibatkan lelaki-lelaki bertaraf rendah atau sederhana takut dan tidak berani untuk meminang seterusnya mengahwini wanita profesional berstatus dan berkerjaya tinggi. Menurut beliau, jika keadaan ini berterusan maka lebih ramailah wanita golongan profesional tidak berkahwin. Jika masyarakat dapat mengubah persepsi dan penerimaan mereka, isu ini bukanlah perkara baru dan tidak akan menjadi kontroversi.Beliau menekankan tentang bilangan wanita profesional yang tidak berkahwin adalah tinggi. Perubahan sosial masyarakat Malaysia kini lebih terbuka. Wanita telah diberi peluang untuk menceburi pelbagai bidang setinggi mungkin dan ramai di kalangan wanita berjaya menjadi usahawan, menteri, ketua jabatan dan sebagainya. Taraf profesional golongan wanita juga setanding dan mungkin lebih dari lelaki. Inilah yang membimbangkan kerana ramai dari golongan ini yang tidak mahu atau belum berkahwin. Mereka berjaya dari satu sudut dan gagal dalam satu sudut yang lain iaitu memiliki suami dan keluarga seperti wanita lain. Beliau memikirkan cadangan ini jika diterima di negara ini dapat mengatasi serba sedikit masalah ini di samping memberi jalan keluar kepada ibu-ibu tunggal yang mengalami masalah yang sama. Jika dilihat dari aspek nisbah pembangunan genetik, berapa banyak negara telah membazirkan genetik-genetik ibu-ibu yang cerdik, mempunyai IQ yang tinggi dengan membiarkan golongan-golongan wanita profesional ini tidak berkahwin hingga ke akhir hayat mereka. Jika difikirkan, wanita-wanita yang berjaya ini mampu melahirkan generasi akan datang yang cerdik pandai. Tetapi jika mereka dibiarkan tidak berkahwin, maka siapakah pewaris generasi kita akan datang yang tinggal. Sama-samalah kita fikir dan renungkan. Wallahualam. *
ditulis oleh : Izzat b Saffian
ditulis oleh : Izzat b Saffian
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home