Thursday, March 6, 2008

Tebus Talak (Khulu')

1) PENGERTIAN KHULU’

Dari segi bahasa arab ertinya: cabut, tanggal seperti menanggalkan baju, pakaian dan sebagainya. Pengertian ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

"mereka itu (isteri-isteri) adalah pakaian kamu dan kamu (suami-suami) adalah pakaian mereka."
(Surah : Al-Baqarah : ayat 187)

Dari ayat tersebut dapat difahamkan bahawa isteri-isteri itu dianggap pakaian untuk suami dan suami-suami merupakan pakaian untuk isteri-isteri, oleh yang demikian sekiranya berlaku khulu’, seolah-olahnya suami isteri itu masing-masing telah meninggalkan atau mencabut pakaiannya.Dari segi syarak ertinya : perceraian yang diminta oleh isteri kepada suaminya dengan bayaran.

2) DALIL HARUS KHULU’

1. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Tidak halal bagi kamu mengambil apa-apa yang telah kamu berikan kepada mereka sesuatu, kecuali jika takut kedua-duanya bahawa mereka kedua tidak menurut perintah-perintah Allah maka tidaklah berdosa kedua-duanya tentang barang yang dibuat tebusan oleh perempuan itu.
(Surah Al-Baqarah : ayat 229)

2. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Ambillah kebun yang dijadikan maskahwin itu dan ceraikanlah dia."
(Riwayat Al-Bukhari)

Hadith ini ditujukan oleh Rasulullah SAW terhadap Sabit bin Qais yang mana isterinya bernama Habibah bte Sahal Al-Nasari memohon cerai di samping mengembalikan semua maskahwinnya kepada Sabit bin Qais, tebusan talaq yang dilakukan oleh isteri Sabit ini adalah merupakan tebusan talaq yang pertama kali berlaku di dalam Islam.

3) HIKMAH KHULU’

Kalau talaq merupakan suatu perkara yang dibenci oleh syarak, begitulah juga khulu’, kerana kedua-duanya ini mempunyai erti yang sama iaitu memutuskan ikatan perkahwinan, tetapi oleh kerana beberapa sebab yang tidak dapat diatasi maka syarak membenarkan dan mengharuskan talaq, begitu juga tebusan talaq, cuma tebusan talaq itu selalunya adalah kemahuan isteri-isteri.

Di sini bolehlah dibuat kesimpulan tentang hikmah-hikmah yang diharuskan khulu’:
1. Perbalahan atauu pergaduhan yang berlaku di antara suami isteri itu tidak dapat diperbaiki lagi.
2. Untuk mengelakkan kemudharatan yang diamali oleh isteri bila hidup dengan suami-suami yang tidak bertanggungjawab.
3. Bila isteri tidak sanggup lagi hidup dengan suami dan inginkan berpisah dari suaminya.
4. Bila kedua-duanya tidak dapat lagi memohon syarat-syarat berumahtangga sebagai suami isteri.

4) RUKUN KHULU’

1. Isteri
2. Suami
3. Bayaran
4. Sighah (lafaz)

5) BEBERAPA PERKARA YANG BERHUBUNG DENGAN KHULU’

1. Isteri yang menebus talaq itu tidak boleh dirujuk semula, kecuali dengan akad nikah yang baharu serta memenuhi syarat-syaratnya.
2. Bayaran tebus talaq itu tidak dihadkan sedikit atau banyak, berhutang atau tunai, wang atau barang-barang lain, malah terpulanglah kepada persetujuan dan kerelaan suami isteri itu asalkan bayaran itu dari sesuatu yang berfaedah.
3. Tebus talaq boleh dilakukan bila-bila masa sahaja, boleh dilakukan di masa perempuan sedang suci atau haid, berlainan dengan talaq biasa, diharamkan di waktu haid dan di waktu suci yang disetubuhi di ketika suci itu, kerana tebus talaq ini adalah dari kemahuan dan kerelaan perempuan itu sendiri.
4. Jika talaq secara paksa tidak sah, maka begitu juga tebus talaq tidak boleh dipaksa, malah mestilah dengan persetujuan suami isteri, tetapi dalam pada itu kalau pihak suami berdegil dan berkeras tidak mahu sedangkan ianya mesti dilakukan, ntuk mengelakkan kemudharatan atau kesengsaraan yang dialami oleh isteri. Dalam hal ini pihak qadhi boleh bertindak.
5. Cara melafazkan tebus talaq, seperti kata suami:

“Saya ceraikan awak dengan bayaran dua ratus ringgit”

lalu isteri menjawab :

“saya terima dengan bayaran tersebut,”

atau kata isteri :

“ceraikan saya dengan bayaran dua ratus ringgit”

jawab suami:

“saya ceraikan awak dengan bayaran tersebut”.

Syafiq



0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home