Pernikahan Rahsia di ThailandSoalan: Saya telah bernikah di Siam secara senyap-senyap untuk mengelakkan dosa maksiat. Apa hukumnya setelah bernikah di Siam, kemudian saya bernikah sekali lagi di Malaysia? Dan kalau ada orang bertanya sudah kahwin ataupun belum, saya jawab belum bagi menutup rahsia, bagaimana?
Jawapan: Akad nikah sah apabila cukup dengan syarat-syaratnya yang telah digariskan oleh para ulamak iaitu mesti ada calon suami, calon isteri, wali, saksi dan ijab dan kabul. Sehubungan dengan itu akad nikah walaupun di negara mana sekalipun diadakan termasuk di negara jiran Thailand adalah sah jika mencukupi syarat-syarat dan rukunnya. Cuma yang sering menjadi persoalan ialah adakah akad nikah itu benar-benar dilakukan dengan imam-imam yang bertauliah dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.
Biasanya kerajaan Malaysia hanya mengiktiraf imam-imam yang benar-benar layak sahaja. Ini bermakna akad nikah yang dijalankan oleh imam-imam yang tidak bertauliah tidak sah. Soalnya sekarang kenapa harus berkahwin di Thailand tidak di negara sendiri. Jika alasan yang diberikan ialah kerana wali perempuan tidak mengizinkan akad nikah itu, sedangkan kedua pasangan sudah sekufu maka kes seumpama ini sebenarnya boleh diselesaikan dengan mudah, kerana ia termasuk dalam kes wali enggan mewalikan perkahwinan. Pihak berkuasa agama di negara kita mempunyai cara tersendiri dalam menyelesaikan perkara ini. Kerana itu kenapa semestinya bernikah di negara jiran.
Akad nikah yang dilangsungkan sekali lagi kerana memenuhi keperluan undang-undang pendaftaran nikah kahwin di Malaysia tidaklah membatalkan perkahwinan yang pertama. Bagaimanapun perkara ini amat tidak elok dilakukan, kerana menampakkan soal nikah kahwin yang begitu besar urusannya itu seolah-olah menjadi bahan permainan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Mengadakan akad nikah sekali lagi kerana urusan pendaftaran tidak menjadi masalah.
Jika anda mengaku masih bujang sedangkan anda sudahpun berkahwin, maka perbuatan anda ini termasuk dalam ertikata kinayah atau penggunaan simbolik. Ini bermakna jika anda berniat untuk menceraikan isteri anda, maka jatuhlah talak ke atas isteri anda itu mengikut yang anda niatkan. Tetapi jika anda bermaksud untuk menyembunyikan perkahwinan itu takut mendapat malu, maka perbuatan anda ini amat tidak wajar kerana menyalahi sunnah Rasulullah yang menyuruh supaya diisytiharkan perkahwinan dan disembunyikan pertunangan.
Kecuali pada pandangan anda, anda akan ditimpa mara bahaya yang lebih besar dan kemungkinan anda akan dibunuh jika anda mengumumkan perkahwinan anda, dikala itu haruslah kepada anda menyembunyikannya buat sementara waktu perkahwinan itu. Bagaimanapun anda tidak boleh menyembunyikannya secara berterusan. Sampai bilakah anda harus berada dalam keadaan begitu?
Hamil Anak Luar NikahSoalan: Saya mengandung 5 bulan tapi kandungan ini anak luar nikah. Saya tidak tahu nak buat apa. Berkali-kali saya mencuba untuk mengugurkannya tapi tidak menjadi. Saya berbuat demikian kerana ingin menutup malu keluarga. Buat sementara ini keluarga saya tidak tahu lagi. Saya tidak mahu berkahwin kerana saya masih muda lagi. Saya tidak tahu di mana hendak cari jalan penyelesaian?
Jawapan: Zina termasuk perbuatan yang diharamkan dan merupakan dosa besar bagi yang melakukannya. Bahkan mendekatinya pun diharamkan. Sebagaimana firman Allah SWT maksudnya:
"Janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya ia adalah perbuatan keji dan seburuk-buruk jalan".
(Surah Al Isra' ayat 32)
Islam dengan keras melarang perzinaan serta memberikan peringatan tegas, kerana perzinaan mengaburkan zuriat, merosakkan nasab, merosakkan akhlak dan menimbulkan penyakit yang sukar diubati.
Akibat yang diterima oleh orang yang melakukan zina ditegaskan lagi oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda maksudnya:
"wahai umat manusia, takutlah perbuatan zina kerana ia menyebabkan enam perkara. Tiga perkara di dunia dan tiga lagi di akhirat. Adapun yang di dunia adalah, menghapuskan kebaikan, membawa kemiskinan dan mengurangi umur. Adapun yang di akhirat, dimurkai Allah, hisab yang buruk dan seksa neraka".
Untuk menyelesaikan masalah yang anda hadapi, hendaklah anda menempuh cara-cara sebagai berikut:
1. Pertama sekali anda hendaklah segera bertaubat atas dosa dan kesilapan yang telah anda lakukan. Taubat dengan sebenar-benar taubat dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang terkutuk itu. Lakukanlah solat fardhu lima waktu dan banyakkanlah beristigfar dan menyesali perbuatan dosa masa silam.
2. Janganlah anda menggugrkan kandungan yang telah berusia lima bulan tersebut kerana kandungan anda itu telah berbentuk wujud manusia bahkan telah ditiupkan roh ke atasnya. Jika anda menggugurkannya bererti anda telah membuat dosa yang besar iaitu membunuh jiwa manusia.
3. Segeralah mendirikan rumahtangga kerana dengan jalan ini anda telah membantu diri sendiri dalam menjaga akhlak dan moral serta dapat menyalurkan nafsu berahi dengan cara yang diredhai oleh Allah SWT. Usia yang muda bukanlah menjadi ukuran seseorang itu menahan dirinya dari hasrta untuk mendirikan rumahtangga kerana Siti Aisyah pun berkahwin dengan Rasulullah SAW saat beliau berusia 9 tahun dan setelah baligh (keluar haid) pada umur 12 tahun beliau baru menjalin hubungan dengan Rasulullah SAW. Jadi jelaslah usia bukanlah menjadi penghalang untuk anda mendirikan rumahtangga, asalkan anda telah mencapai usia baligh.
Tidak Mampu Memberi Nafkah (Poligami)Soalan: Saya mempunyai dua orang isteri, kedua-duanya tidak mempunyai anak . Saya ingin mencerai salah seorang kerana tidak mampu untuk menampung (tidak berkemampuan). Masalahnya, tiada sebab saya menceraikannya kerana alasan ekonomi. saya minta penjelasan mengenai masalah ini?
Jawapan: Di dalam Islam menganjurkan kita berkahwin hingga empat orang jika tidak mampu memadailah dengan seorang isteri. Jika anda telah berkahwin dua bererti anda telah menyiapkan diri untuk mengikuti sunnah yang diredhai. Janganlah mencari alasan kerana ingin melepaskan tanggungjawab dan menyenangkan diri sendiri. Setelah berpoligami jalankanlah dengan baik, kemungkinan kesukaran yang anda hadapi sekarang ini merupakan dugaan saja yang mengandungi banyak hikmah dan rahmat. Bersabarlah dalam menjalankan sunnah, dan bekerjalah dengan lebih tekun demi memenuhi tanggungjawab sebagai seorang suami kerana perkara inilah yang lebih dituntut dan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah SWT. Wallahu A'lam.
Isteri Memukul SuamiSoalan: Apakah hukum seorang isteri yang memukul suami yang tidak melakukan apa-apa kesalahan. Dan apakah tindakan yang wajar yang harus diambil oleh suami yang dipukul?
Jawapan: Isteri yang solehah adalah mematuhi segala perintah suami dengan penuh taat, selagi suami tidak mengajak isteri kepada perbuatan maksiat atau mempersekutukan Allah. Diantara ciri-ciri isteri yang solehah iaitu memiliki budi pekerti yang murni, mempunyai sifat persefahaman, pengorbanan, ketabahan dan penuh pengertian. Kemudian ditambah dengan sifat patuh dan taat kepada suami, mengurus rumahtangga dengan baik, berhias untuk suami, melayani suami, berpakaian menurut ajaran Islam dan memberi motivasi terhadap cita-cita suami.
Jika seorang isteri telah berani memukul suami apakah suami bersalah ataupun tidak itu merupakan sifak kederhakaan yang dikutuk oleh Allah. Sebab keredhaan Allah terhadap seorang isteri itu tergantung kepada keredhaan suaminya. Seandainya suaminya tidak redha maka isteri akan menerima seksaan Allah yang berat di akhirat nanti. Wallahu A'lam
T
inggal Serumah yang Bukan MuhrimSoalan: Apakah batas aurat adik lelaki saya dengan emak mertua saya sedangkan mereka tinggal serumah dengan saya dan adakah dibolehkan dalam islam mereka ini tinggal serumah?
Jawapan: Adik lelaki saudari dengan emak mertua saudari bukan muhrim oleh sebab itu didalam berpakaian hendaklah memenuhi tuntutan Islam agar tidak menimbulkan sebarang fitnah dan sebagainya. Mengenai tinggal serumah dengan saudari dan emak mertua serta ahli keluarga yang lain dibolehkan asal menjaga adab dan nilai-nilai ajaran Islam. Sila rujuk ayat mengenai muhrim surah An Nisaa' ayat 22 dan 23.
Pemberian Nafkah Seorang SuamiSoalan: Saya mempunyai seorang adik perempuan yang sudah bersuami dan mempunyai anak seramai enam orang yang sedang meningkat remaja. Masalahnya sekarang ialah adik saya bekerja sementara suaminya tidak bekerja. Untuk makluman ustaz suami adik saya ini seorang pengikut Tabligh yang kadang-kadang meninggalkan keluarga sehingga seminggu atau pun lebih. Menuntut ilmu agama sememangnya dituntut tetapi masalahnya sepeninggalannya suami tidak meninggalkan nafkah makan minum isteri dan anak. Baginya isteri bekerja, jadi suami tidak ambil endah langsung. Kemungkinan si suami berfikir ibubapanya ada yang masih boleh melihat anak isterinya samada makan atau pun tidak, tak kan datuk nak biarkan anak cucunya kebuluran.... Si isteri kadang-kadang tidak tahan lalu mengadu dengan kakak dan abang... Di sini saya ingin mendapat pandangan ustaz mengenai perkara ini. Terima kasih.
Jawapan: Menurut institusi kekeluargaan dalam Islam menjadi tanggungjawab seorang suami memenuhi keperluan kehidupan keluarganya baik dari segi nafkah lahir mahupun batin.Suami juga berkewajipan menggauli isteri dengan baik, suami juga harus menyediakan makanan yang baik, pakaian dan juga pendidikan agama yang sempurna untuk keluarganya. Begitu juga sebaliknya isteri berkewajipan melaksanakan tanggungjawabnya dalam keluarga, seperti mengakui kepimpinan suami, taat kepada suaminya, keluar rumah dengan izin suami, melahirkan rasa kegembiraan di hadapan suami, dilarang menunjukkan sikap sombong, ego dan sebagainya. Jika tanggungjawab masing-masing suami isteri tidak dijalankan dengan baik, maka itu merupakan pertanda penyimpangan dalam menjalankan institusi rumahtangga.
Jika terjadi kecuaian suami atau isteri atau kedua-duanya dalam menjalankan tanggungjawab ini, perlu diberitahukan kepadanya akan kelalaiannya itu baik secara langsung mahupun menggunakan orang ketiga. Seandainya cara ini tidak berhasil kerana kecuaiannya ataupun ketidakmampuannya, maka isteri dituntut agar redha dengan keadaan tersebut. Dalam perkara ini kita boleh merujuk kepada kehidupan Rasulullah dengan Siti Khadijah. Dari segi kekayaan, Khadijah merupakan seorang jutawan pada zamannya, namun beliau redha seluruh harta kekayaan itu digunakan oleh suaminya dalam menegakkan Islam, akhirnya kehidupan keluarga baginda sangat sederhana bahkan miskin dari harta dan benda.
Seandainya isteri tabah dan redha menghadapi cubaan dan cabaran hidup ini maka sangat besar pahala baginya. Sedangkan suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya hanya Allah akan membalas kelalaiannya itu. Dengan ketabahan seorang isteri memberi nafkah anak-anaknya dan dirinya sendiri, insya Allah akan dimudahkan Allah perjalanan hidup dan rezekinya. Dengan cara ini juga, insya Allah hati suaminya akan kembali menjalankan tanggungjawabnya.
Hariz Azhar